Thursday 28 November 2013

Fasa baru bermula..


Bismillahirrahmanirrahim.. dimulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dipanjatkan hanya bagiNya , Rab sekian alam. Segala kesyukuran keatas nikmat dari Nya yang tidak terbilang. Salawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wassalama juga untuk  keluarga serta sahabat-sahabat baginda seluruhnya.

Assalamualaikum kepada teman-teman baru dan lama. Wan Kamariah, itulah nama yang diberi ayahanda Wan Ahmad Abd Rahman. Dilahirkan di Kampung Beladau Kolam, Manir, Kuala Terengganu sebagai anak ke lima dari enam adik beradik.

Pengalaman berniaga mula ditempa di tempat kerja sekarang setelah menamatkan pengajian di UKM di bidang Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem. Bermula sebagai seorang kerani dan kemudiannya dilantik sebagai pengarah, saya diberi peluang melihat sendiri bagaimana sebuah syarikat kecil dibangunkan dan dikembangkan. Jadilah ia sebuah episod kehidupan yang penuh kesibukan.

Bekerja saban hari, enam hari seminggu, membuka peluang luas-luas untuk saya mempelajari tentang perniagaan secara hands down. Sangat beruntung juga saya punya majikan yang tidak kedekut ilmu dan senior yang sangat sabar. Boleh dikatakan saya terlibat secara langsung dalam semua aktiviti syarikat selain pembuatan dan pemasangan produk. Minat sedia ada untuk memiliki perniagaan sendiri sentiasa meningkat.

Di sini saya belajar erti kehidupan dan melihat pelbagai ragam dan sisi makhluk yang bernama manusia. Di sini juga saya sedar bahawa dunia hanya sementara dan sisi lain dalam diri saya berkata, kesibukan ini perlu dikurangkan bagi membuka jalan pengisian jiwa.

Alhamdulillah, walau agak lewat, saya dipertemukan jodoh dengan seorang suami yang amat memahami. Setelah berjauhan lebih setahun dan suami terpaksa berpenatan berulang-alik, sudah tiba masa untuk saya melangkah ke musim baru dalam babak kehidupan saya. Di mana lagi tempat terbaik bagi seorang isteri kalau bukan disamping suami? Bekerja dari rumah, itulah jawapannya kerana saya tidak lagi dapat melihat diri saya bekerja dengan orang lain.

Perpindahan ini pasti menjanjikan pelbagai cabaran dalam kehidupan mendatang. Perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada gaya hidup atau budaya setempat bakal ditempuh dengan debaran. Hanya pada Allah diletakkan segara harapan. Kepada Allah dipohon rahmat, taufik dan bimbingan serta segala kebaikan.

Sekian entri sulung dari rentetan kehidupan dari Manir ke Puchong. Salam perkenalan buat sahabat dan bakal-bakal sahabat di sepanjang perjalanan. Insya Allah bertemu lagi di entri yang lain.
Wassalam.


No comments:

Post a Comment