Thursday 2 January 2014

Logistik: Nadi Perniagaan Maya


Teks: w.kamariah
Foto: carian google





بسم الله الحمن الرحيم  اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين



Alhamdulillah...setelah puas memicit-micit kepala dan mengurut-ngurut dada, selepas genap sepuluh hari barang dari pembekal dipos, akhirnya selamat diterima juga. Berdenyut-denyut kepala memikirkannya. Bimbang ada, takut pun ada. Lewat barang sampai, lambat dapat diedar dan dijual, lambat juga pulang modal. Itu pun kalau pelanggan tak lari.

Secara umumnya logistik bermaksud pengurusan aliran sesuatu sumber di antara satu titik lokasi asal ke titik lokasi penggunaan bagi memenuhi sesuatu keperluan. Ia meliputi sumber berbentuk fizikal seperti material untuk diproses, alatan dan makanan serta sumber berbentuk abstrak seperti maklumat dan tenaga.

Tidak kira berniaga secara offline atau online, pengurusan logistik secara dalaman atau luaran akan mempengaruhi perniagaan tersebut secara langsung.

Kelewatan dari pembekal akan menjejaskan jadual pengeluaran yang mana ia membawa kepada situasi bottleneck. Kerugian secara langsung dari segi kos masa, tenaga dan material. Kadang-kadang material terpaksa diambil dari tempat lain dahulu dengan harga lebih mahal bagi mengejar dateline yang perlu dipenuhi berdasarkan kontrak.

Bagi perniagaan online, bukan sahaja kelancaran operasi akan dipengaruhi tetapi aset penting iaitu nilai kepercayaan yang bakal dipertaruhkan. Apa tidaknya, segala urusan berlaku antara individu yang tidak dikenali tanpa bersua muka. Bagi peniaga online yang meletakkan perniagaan mereka di portal perniagaan atau marketplace seperti lelong.com dan ebay, ia pasti mempengaruhi rating peniaga. Biasanya kadar masa yang diambil untuk barang pesanan sampai kepada pembeli menjadi salah satu kayu ukur.

Sebaiknya tinjau-tinjaulah dahulu rekod dan pengalaman sahabat-sahabat yang pernah berurusan dengan syarikat-syarikat logistik tertentu supaya memilihnya sebagai 'rakan niaga'. Jangan percaya janji-janji manis mereka sahaja.

Selain dari kadar tambang, terdapat perkara-perkara lain yang turut menjadi ukuran. Ini kerana sesetengah syarikat tidak pergi ke kawasan-kawasan tertentu. Bengang juga rasanya apabila tambang yang dibayar rupanya hanya untuk sekerat jalan. Padahal alamat yang diberi hanya 15 ke 20 minit sahaja dari pejabat syarikat tersebut.

Cara pengurusan barang hantaran juga penting. Ini penting apabila melibatkan barangan dari kategori 'fragile'. Kerap kali juga saya menerima barangan yang kemek akibat pengurusan yang tidak betul tidak kira sama ada menggunakan lori syarikat logistik atau van courier service.

Apa-apa pun doa, usaha, doa lagi dan tawakkal kepada Allah. Mohon dipermudahkan segala urusan.
Wallahu a'lam.

Friday 27 December 2013

Pasar Manir

Teks: w.kamariah
Foto: w.kamariah

Keadaan trafik Pasar Minggu Pekan Manir setiap Sabtu. Ini kira ok lah sebab hujan.


Hari Sabtu adalah hari check in di Pasar Manir. Hujan la pulok.....

Suasana sekitar Pasar Manir


Sekarang musim ubi. Hujan-hujan ni, pekena ubi kayu rebuh cicoh nyior lawang kupi scawang... pergh!!

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, hujan dah serik, yang bah dah surut, yang bertandang pun dah  pulang, Setelah 3 hari berjaya menjemur baju, pagi ini hujan turun lagi. Tapi tak kira hujan atau ribut, pasar manir tetap ramai orang.. pasar tradisi yg terkenal sejak sebelum zaman arwah nenek dulu.

Luas pasaran Pasar Manir tidak tertumpu kepada penduduk sekitar Manir sahaja, malah dari Bandar Kuala Terengganu pun ada.

Terdapat banyak produk istimewa yang menjadi tumpuan pengunjung sejak dahulu antaranya adalah kuih muih, beras kampung, ketupat pulut, pisau dan golok, hasil tangan seperti badang dan lekar, serta ikan air tawar yang segar.

Tidak kurang juga ada yang pergi kerana suka-suka nak lihat kemeriahan manir. Zaman nenek dahulu, pengunjung  datang ke Manir dengan menggunakan perahu yang mana ia  terkenal sebagai pasar buah. Kini kemeriahan Manir kian bertambah dengan adanya jambatan yang menghubungkan Manir, Pulau Rusa dan Paloh. Sehingga kini kegemilangan Manir tidak tenggelam walau tumbuhnya pasaraya-pasaraya besar.

Sunday 22 December 2013

Berniaga Di Musim hujan





Teks: W. Kamariah
Foto: Carian Google

بسم الله الحمن الرحيم  اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين   
Alhamdulillah..langit sudah kembali cerah, hujan pun dah serik walaupun masih diselangi kebimbangan pertembungan gelombang kedua angin monsun timur laut dan fenomena air pasang.

Bagi perniagaan yang berhubung kait secara langsung dengan aktiviti pembinaan, musim tengkujuh adalah hari-hari yang agak membimbangkan. Bilangan 'walk in customer'  berkurangan secara drastik kerana banyak aktiviti pembinaan dikurangkan. Apalagi kalau hujan lebat berterusan selama lebih seminggu tanpa henti. Kalau tak sempat melepasi peringkat pemasangan  atap sebelum situasi ini bermula, banyak aktiviti terpaksa ditangguhkan.

Ini adalah hari-hari yang menyedihkan dari segi  jualan. Walau bagaimanapun, kesempatan ini digunakan sepenuhnya bagi menyiapkan kerja-kerja dokumentasi. dan rekod. Maklum sahajalah, apabila orang yang membuat jualan adalah orang yang sama membuat kerja pengkeranian dan mengawal stok, banyak kerja-kerja tertangguh. 

Ini biasanya berlaku apabila berurusan dengan pelanggan yang melibatkan perkhidmatan tempahan dan pelanggan yang sedang dalam proses pembinaan rumah. Kena pulak kami selalu berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang cerewet dan banyak permintaan. Kadang-kadang seorang pelanggan mengambil masa lebih satu jam untuk mengambil keputusan. Lagi sedih bila akhirnya tiada jualan berlaku. Katanya, "Nak survey dulu". Alhamdulillah, kebanyakkannya datang kembali setelah puas 'survey' ditempat lain.

Sesungguhnya rezeki itu milik Allah.

Sunday 15 December 2013

Menangkap ilham dalam kebuntuan

Teks: w.kamariah
Foto: w.kamariah


Bismillahirrahmanirrahim..

Dua minggu telah berlalu selepas entri kedua saya. Entahlah, 'mind clutter' campur dengan 'writers block'. Kadang-kadang ada banyak yang nak ditulis, duduk saja depan keyboard, terus hilang segala idea. Terkebil-kebil mata memandang skrin. Argh!! Geram. Buntu.

Pesan Pn Masayu dalam ebooknya, bawa buku catatan, sudah dibawa, tapi lepas dapat capai pen, hilang pulak ideanya. Jadi saya guna handphone dan catat dalam apps evernote yang ada gambar kepala gajah tu, bayangkan seperti saya sedang menulis sms yang panjang seolah-olah begitu teruja bercerita kepada teman. Lepas  tu boleh sync dengan evernote dalam laptop dan tablet. Jadi tak ada masalah sambung nota yang sama dalam laptop atau tablet.

Masalahnya idea saya selalu juga timbul masa memandu. Takkan nak menaip atau menulis sambil memandu. Macam tak selamat je. Walaupun handphone yang ada tu ada ciri merakam suara, tetap rasa tak selamat. Nampaknya kenalah guna perakam suara yang dah tak berapa guna tu. Harap lepas ni dah tak buntu lagi.. Amiin.