Thursday 2 January 2014

Logistik: Nadi Perniagaan Maya


Teks: w.kamariah
Foto: carian google





بسم الله الحمن الرحيم  اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين



Alhamdulillah...setelah puas memicit-micit kepala dan mengurut-ngurut dada, selepas genap sepuluh hari barang dari pembekal dipos, akhirnya selamat diterima juga. Berdenyut-denyut kepala memikirkannya. Bimbang ada, takut pun ada. Lewat barang sampai, lambat dapat diedar dan dijual, lambat juga pulang modal. Itu pun kalau pelanggan tak lari.

Secara umumnya logistik bermaksud pengurusan aliran sesuatu sumber di antara satu titik lokasi asal ke titik lokasi penggunaan bagi memenuhi sesuatu keperluan. Ia meliputi sumber berbentuk fizikal seperti material untuk diproses, alatan dan makanan serta sumber berbentuk abstrak seperti maklumat dan tenaga.

Tidak kira berniaga secara offline atau online, pengurusan logistik secara dalaman atau luaran akan mempengaruhi perniagaan tersebut secara langsung.

Kelewatan dari pembekal akan menjejaskan jadual pengeluaran yang mana ia membawa kepada situasi bottleneck. Kerugian secara langsung dari segi kos masa, tenaga dan material. Kadang-kadang material terpaksa diambil dari tempat lain dahulu dengan harga lebih mahal bagi mengejar dateline yang perlu dipenuhi berdasarkan kontrak.

Bagi perniagaan online, bukan sahaja kelancaran operasi akan dipengaruhi tetapi aset penting iaitu nilai kepercayaan yang bakal dipertaruhkan. Apa tidaknya, segala urusan berlaku antara individu yang tidak dikenali tanpa bersua muka. Bagi peniaga online yang meletakkan perniagaan mereka di portal perniagaan atau marketplace seperti lelong.com dan ebay, ia pasti mempengaruhi rating peniaga. Biasanya kadar masa yang diambil untuk barang pesanan sampai kepada pembeli menjadi salah satu kayu ukur.

Sebaiknya tinjau-tinjaulah dahulu rekod dan pengalaman sahabat-sahabat yang pernah berurusan dengan syarikat-syarikat logistik tertentu supaya memilihnya sebagai 'rakan niaga'. Jangan percaya janji-janji manis mereka sahaja.

Selain dari kadar tambang, terdapat perkara-perkara lain yang turut menjadi ukuran. Ini kerana sesetengah syarikat tidak pergi ke kawasan-kawasan tertentu. Bengang juga rasanya apabila tambang yang dibayar rupanya hanya untuk sekerat jalan. Padahal alamat yang diberi hanya 15 ke 20 minit sahaja dari pejabat syarikat tersebut.

Cara pengurusan barang hantaran juga penting. Ini penting apabila melibatkan barangan dari kategori 'fragile'. Kerap kali juga saya menerima barangan yang kemek akibat pengurusan yang tidak betul tidak kira sama ada menggunakan lori syarikat logistik atau van courier service.

Apa-apa pun doa, usaha, doa lagi dan tawakkal kepada Allah. Mohon dipermudahkan segala urusan.
Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment