Showing posts with label bisnes offline. Show all posts
Showing posts with label bisnes offline. Show all posts

Thursday, 2 January 2014

Logistik: Nadi Perniagaan Maya


Teks: w.kamariah
Foto: carian google





بسم الله الحمن الرحيم  اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين



Alhamdulillah...setelah puas memicit-micit kepala dan mengurut-ngurut dada, selepas genap sepuluh hari barang dari pembekal dipos, akhirnya selamat diterima juga. Berdenyut-denyut kepala memikirkannya. Bimbang ada, takut pun ada. Lewat barang sampai, lambat dapat diedar dan dijual, lambat juga pulang modal. Itu pun kalau pelanggan tak lari.

Secara umumnya logistik bermaksud pengurusan aliran sesuatu sumber di antara satu titik lokasi asal ke titik lokasi penggunaan bagi memenuhi sesuatu keperluan. Ia meliputi sumber berbentuk fizikal seperti material untuk diproses, alatan dan makanan serta sumber berbentuk abstrak seperti maklumat dan tenaga.

Tidak kira berniaga secara offline atau online, pengurusan logistik secara dalaman atau luaran akan mempengaruhi perniagaan tersebut secara langsung.

Kelewatan dari pembekal akan menjejaskan jadual pengeluaran yang mana ia membawa kepada situasi bottleneck. Kerugian secara langsung dari segi kos masa, tenaga dan material. Kadang-kadang material terpaksa diambil dari tempat lain dahulu dengan harga lebih mahal bagi mengejar dateline yang perlu dipenuhi berdasarkan kontrak.

Bagi perniagaan online, bukan sahaja kelancaran operasi akan dipengaruhi tetapi aset penting iaitu nilai kepercayaan yang bakal dipertaruhkan. Apa tidaknya, segala urusan berlaku antara individu yang tidak dikenali tanpa bersua muka. Bagi peniaga online yang meletakkan perniagaan mereka di portal perniagaan atau marketplace seperti lelong.com dan ebay, ia pasti mempengaruhi rating peniaga. Biasanya kadar masa yang diambil untuk barang pesanan sampai kepada pembeli menjadi salah satu kayu ukur.

Sebaiknya tinjau-tinjaulah dahulu rekod dan pengalaman sahabat-sahabat yang pernah berurusan dengan syarikat-syarikat logistik tertentu supaya memilihnya sebagai 'rakan niaga'. Jangan percaya janji-janji manis mereka sahaja.

Selain dari kadar tambang, terdapat perkara-perkara lain yang turut menjadi ukuran. Ini kerana sesetengah syarikat tidak pergi ke kawasan-kawasan tertentu. Bengang juga rasanya apabila tambang yang dibayar rupanya hanya untuk sekerat jalan. Padahal alamat yang diberi hanya 15 ke 20 minit sahaja dari pejabat syarikat tersebut.

Cara pengurusan barang hantaran juga penting. Ini penting apabila melibatkan barangan dari kategori 'fragile'. Kerap kali juga saya menerima barangan yang kemek akibat pengurusan yang tidak betul tidak kira sama ada menggunakan lori syarikat logistik atau van courier service.

Apa-apa pun doa, usaha, doa lagi dan tawakkal kepada Allah. Mohon dipermudahkan segala urusan.
Wallahu a'lam.

Saturday, 30 November 2013

Dokumentasi dan rekod: beringat sebelum kena

Teks: Wan Kamariah Wan Ahmad
Foto: Carian Google


Bismillahirrahmanirrahim..

Disember baru bermula, bulan terakhir dalam tahun perakaunan rasmi kebanyakan syarikat. Ia juga merupakan bulan paling sibuk. Rekod-rekod disemak, segala dokumentasi perlu dikemaskini. Apa lagi orang yang sama perlu juga melayan pelanggan yang masuk ke kedai.
Banyak syarikat kecil kurang mengambil perhatian tentang pemfailan rekod sebegini. Biasanya ia melibat pembelian atau bayaran upah secara tunai yang tidak ada resit atau bil. Sebaiknya buatlah baucer bayaran sebagai bukti rekod keluar duit. Jangan pula sampai perlu membayar denda atau saman yang tidak sepatutnya. Kalau terlepas tak apa. Kalau dah kena, "tak habis makan" la jawabnya.

Teringat seorang rakan kontraktor kelas F datang mengadu dan meminta nasihat majikan saya tentang permasalahan berkaitan. Beliau terlibat dalam kerja-kerja subkontrak dan mengupah tukang-tukang kampung mengikut projek secara upah harian. Bayaran dibuat mengikut sekali seminggu di tapak projek. Tiada rekod bayaran upah antara kontraktor dan tukang secara bertulis di catat.
Begitulah cara beliau bekerja selama bertahun-tahun sehingga satu hari beliau dikunjungi seorang ejen percukaian yang dilantik oleh LHDN. Apabila terdapat baki akaun yang tidak logik berbanding hasil audit yang diisytiharkan, pasti akan membuka ruang-ruang kecurigaan  dari pihak percukaian. Tambahan pula, ejen-ejen luar yang dilantik ini bakal diberi komisyen jika ada kutipan berjaya dibuat.

Sejujurnya saya bukanlah pakar kewangan atau perakaunan. Ilmu ditambah sedikit demi sedikit mengikut keperluan semasa. Sebaiknya berbincanglah dengan auditor yang anda lantik tentang apa dokumentasi yang diperlukan. Beringatlah sebelum kena.

Rekod-rekod keluar masuk kewangan, rekod penghutang dan pemiutang serta stok bukan sahaja penting untuk tujuan analisa keadaan perniagaan dan percukaian, tetapi yang paling utama adalah untuk kiraan zakat apabila cukup haul dan nisab perniagaan berdasarkan kiraan kalendar hijriah dengan tepat. Anda mungkin boleh lari dari pegawai percukaian lantikan kerajaan, tapi bukan auditor lantikan Allah.

Jaga hak Allah, jaga hak orang, pasti Allah jaga hak kita.

Wassalam.